Perang saudara Perang Saudara Toluid

Konflik Perang Saudara Toluid bermula pada tahun 1240 dan berlangsung selama empat tahun sehingga tahun 1244. Sepanjang konflik ini, Kublai telah membuat keputusan mustahak meninggalkan China untuk kembali ke Mongolia. Sementara itu, Dinasti Song merebut kembali wilayah mereka yang telah jatuh ke tangan Kublai hasil kempen penaklukan oleh Kublai di China. Ariq menyerang wilayah Xia Barat tetapi ia berjaya dipatahkan. Kublai lalu mara ke kota Karakorum yang ditinggalkan Ariq dan membakarnya. Pada masa yang sama, Ariq dan Kublai berusaha untuk menamakan calon mereka bagi jawatan takhta Kekhanan Chagatai. Ariq bertembung dengan calon pilihan Kublai lalu membunuhnya. Cucu kepada Chagatai Khan iaitu Alghu telah dipilih untuk menjadi Khan.

Ketika keadaan menjadi bertambah buruk, Alghu meluahkan keengganan untuk menolong Ariq dalam kancah perang saudara dengan Kublai. Bahkan, Alghu telah membunuh utusan Ariq. Walau bagaimanapun, Kublai tidak sempat mengambil kesempatan ini kerana beliau perlu berpatah balik bersama tenteranya ke China untuk meredakan pemberontakan di sana. Perkara ini membolehkan Ariq pergi berperang dengan Alghu. Walaupun Ariq memperoleh kemenangan ke atas pemimpin Kekhanan Chagatai itu, beliau tetap menanggung banyak kerugian.

Ariq memiliki ramai sekutu namun mereka berlaku khianat terhadap Ariq akhirnya. Pengkhianat tersebut termasuklah anaknya sendiri yang telah mencuri Cap Khan Agung lalu menyerahkannya kepada Kublai sebagai tanda kesetiaan. Setelah tidak mempunyai penyokong atau pengikut, Ariq pergi menuju ke kota Shangdu seorang diri dan menyerah kalah kepada abangnya, Kublai.